Modul Keluarga Sakinah

Modul Keluarga SAKINAH  merupakan suatu modul kekeluargaan yang mengandungi peranan dan tanggungjawab individu di dalam institusi keluarga terutama kemahiran keibubapaan.  Apabila setiap ahli keluarga memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, sudah pasti segala urusan keluarga dapat disempurnakan dengan baik. Secara tidak langsung, keadaan keluarga ini berada dalam kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian.

Modul kekeluargaan ini menjelaskan tentang peringkat pertumbuhan dan perkembangan manusia dari lahir ke dunia sehingga kembali semula bertemu dengan pencipta (Allah SWT) dalam keadaan Husnul Khatimah (kesudahan yang baik). Di samping itu, modul ini juga memberi penekanan terhadap apa yang perlu dibuat pada peringkat pelbagai umur tersebut yang mengambilkira aspek fizikal, intelektual, rohani dan emosi.

Perkembangan manusia ini bermula dari memasuki alam perkahwinan atau dalam ertikata yang lain  mendirikan rumahtangga. Pemilihan pasangan hidup yang baik dan sekufu berdasarkan pandangan Islam, sudah pasti mampu membina keluarga bahagia dan SAKINAH. Di sinilah titik tolak dalam menghasilkan sebuah masyarakat yang baik bahkan diredhai oleh Allah SWT.

Sebagai Nizamul Hayah (peraturan hidup) yang lengkap, yang merangkumi pembentukan masyarakat yang sejahtera. Islam telah menetapkan peraturan perkahwinan dan perjalanan keluarga dengan sempurna. Peraturan ini tidak hanya berbentuk undang-undang tetapi juga menerusi pembentukan satu amanah yang disertai dengan rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak yang dibina dengan kesedaran beragama yang dipupuk melalui pendidikan. Kesempurnaan undang-undang yang mengawal perjalanan keluarga tidak mencukupi bagi menjamin ketenteraman keluarga itu.

Keluarga mesti disusun dan dikawal oleh rasa tanggungjawab bagi  menghormati nilai-nilai akhlak Islam. Rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak itu hanya akan berkembang subur di kalangan orang yang mempunyai kesedaran keagamaan. Kesedaran keagamaan yang terpenting ialah apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepadaNya. Kesedaran ini merupakan kawalan berkesan untuk seseorang mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Tanpa kesedaran ini peraturan yang sempurna tidak memberi banyak kesan, kerana orang yang tidak dapat mengawal dirinya dan dengan mudah melanggar undang-undang serta peraturan itu. 

Dalam membina keluarga yang aman, tenteram dan sejahtera, Islam menitiberatkan kepada dua prinsip :  

  1. Didikan yang mengukuhkan kesedaran beragama (di dalamnya disuburkan perasaan taat kepada Allah SWT, tidak menganiaya sesama manusia, belas kasihan, bertimbangrasa dan lain-lain)
  2. Perkongsian hidup yang disahkan oleh agama dan perundangan negara berkaitan dengan kewajipan suami isteri, kewajipan terhadap anak-anak, nafkahdan sebagainya.

Kepincangan dan kegelisahan yang banyak berlaku di dalam keluarga Islam hari ini adalah kerana pembentukannya tidak memenuhi kehendak-kehendak Islam. Selain daripada kurangnya ilmu agama, kurangnya kefahaman pasangan suami isteri  tentang hukum-hakam yang berkaitan dengan hubungan antara mereka dan tanggungjawab keduanya terhadap anak-anak. Oleh itu, modul ini amat  bertepatan dalam usaha memberikan kesedaran kepada setiap ahli keluarga supaya bersama-sama membentuk keluarga bahagia dan SAKINAH.

Modul kekeluargaan Islam ini dinamakan sebagai Modul Keluarga SAKINAH yang dipetik daripada Surah Ar-Rum, ayat 21 :

Ertinya :

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan  kekuasaanNya ialah Dia menciptakan  untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Modul Keluarga Sakinah ini diterbitkan adalah bertujuan untuk memberi maklumat dan panduan lengkap kepada semua lapisan masyarakat dalam membentuk sebuah institusi keluarga yang berlandaskan tuntutan ajaran Islam sebenar. Selain itu, memberitahu tentang peri pentingnya peranan keluarga sebagai unit kecil dalam masyarakat untuk membentuk persekitaran yang paling selesa sebelum dipraktikkan dalam pembangunan negara. Disamping itu, melahirkan generasi yang berwawasan dan menghayati al-Quran dan al-Hadis serta menjadi contoh tauladan dalam masyarakat.

Modul Keluarga SAKINAH mengandungi 9 modul kerana modul 1 iaitu  Pra Perkahwinan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Agama  Islam  Malaysia (JAKIM). Diikuti pula Modul 2 sehingga Modul 10 yang sedang giat disebarluaskan di Negeri Johor Darul Ta’zim.

Modul 2 iaitu persediaan keibubapaan yang mana modul ini mencadangkan kaedah perlaksanaan upacara pernikahan yang berlandaskan lunas-lunas Islam antaranya akad nikah di masjid, penekanan falsafah ‘Aku Terima’, lafaz taklik, sujud syukur, penyerahan dan penerimaan tanggungjawab serta pesanan ibu kepada anak.

Modul 3 iaitu pra keibubapaan- hamil yang mana modul ini memberi garis panduan kepada ibubapa untuk mendidik diri agar zuriat yang bakal lahir seperti yang diidamkan. Ini termasuk persediaan fizikal, rohani, mental dan emosi oleh bakal ibubapa semasa anak masih dalam kandungan.

Modul 4 iaitu kaedah menyambut kelahiran, asuhan dan bimbingan bayi sehingga mumayyiz – 1 hari sehingga 7 tahun. Modul ini mencadangkan kaedah menyambut kelahiran bayi seperti yang dituntut oleh Islam. Ini sebagai didikan awal dalam usaha melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.

Modul 5 iaitu mumayyiz sehingga baligh – 7 sehingga 15 tahun. Modul ini menerangkan persediaan asas dalam meniti usia remaja dalam melahirkan remaja berkualiti, bermaruah dan mempunyai jati diri yang tinggi.

Modul 6 iaitu alam remaja – 15 sehingga 21 tahun yang mana modul ini menerangkan peranan ibubapa sebagai orang paling hampir akan terus memberi galakan dan bimbingan serta  menyediakan persekitaran yang sihat kepada anak-anak.

Modul 7 iaitu alam matang – 21 sehingga 40 tahun. Modul ini mengkhusus pada pemantapan dan pengukuhan akidah di samping  penghayatan amalan-amalan Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah serta persediaan untuk menghadapi cabaran hidup contohnya pengurusan kewangan dan persediaan ke arah membentuk keluarga.

Modul 8 iaitu alam dewasa – 40 sehingga 55 tahun. Modul ini menerangkan tentang peri pentingnya meningkatkan keyakinan diri untuk kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat.

Modul 9 iaitu 55 tahun ke atas. Modul ini menjelaskan satu tahap umur di mana  individu berada dalam keadaan cukup matang atau sudah masak dengan asam garam kehidupan serta banyak meningkatkan diri pada Yang Maha Esa.

Modul 10 iaitu husnul khatimah. Modul ini mengajak manusia supaya berusaha mendapatkan husnul khatimah dan menghindari su’ul khatimah di hujung kehidupan. Persediaan dari aspek  rohani perlu dititikberatkan untuk menghindari perasaan takut menghadapi kematian.

Diharapkan modul kekeluargaan ini dapat memberi manfaat kepada sesiapa jua yang membaca buku ini dan menjadikannya sebagai rujukan. Apa yang penting, isi kandungannya perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Apa jua kekurangan yang terdapat dalam modul ini, kami memohon kemaafan dan mengharapkan pihak pembaca agar dapat mencadangkan kepada kami untuk diperbaiki. Mudah-mudahan segala usaha murni ini yang dilakukan oleh semua pihak terlibat akan diberkati oleh Allah SWT.           

Accessibility Toolbar

ms_MYMS