Khidmat Pelanggan

Search

Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor

Setinggi kesyukuran dipanjatkan atas kejayaan menyediakan Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor (MKSNJ) ini. Modul ini merupakan kesinambungan daripada Modul Keluarga Sakinah (MKS) yang dilancarkan pada tahun 1998 dan juga hasil daripada resolusi Seminar Kebangsaan Keluarga Sejahtera Negeri Johor (SKKSNJ 2019) yang diadakan pada 25 dan 26 September 2019.

Hasrat kerajaan negeri yang mahukan institusi keluarga diperkukuh memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan pembentukan Negeri Johor yang berwibawa disokong oleh pengukuhan institusi keluarga yang sejahtera. Institusi keluarga merupakan aset penting negara dan merupakan batu asas pembangunan masyarakat yang berjaya. Setiap anggota dalam masyarakat memainkan peranan penting dan sama-sama bertanggungjawab dalam membentuk keluarga harmoni dan sejahtera agar generasi muda yang lahir dari institusi keluarga ini kelak menjadi aset yang berkualiti bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan negara pada masa hadapan. 

Objektif utama pembangunan Modul ini adalah bertujuan untuk:-

  1. Memartabatkan institusi kekeluargaan dalam membentuk masyarakat madani.
  1. Memberi kefahaman tentang peranan pasangan dalam sebuah institusi kekeluargaan.
  1. Memberi kesediaan kepada pasangan yang merancang untuk mendirikan rumahtangga berkaitan “peranan pasangan dalam institusi kekeluargaan” dan “tanggungjawab institusi keluarga dalam masyarakat”.
  1. Memperkukuh peranan dan tanggungjawab pasangan sebagai ibu bapa dalam pengurusan kekeluargaan.

Justeru, kandungan modul ini disediakan bagi mencapai objektif yang dinyatakan di atas. Ini bagi memastikan usaha kerajaan dalam menangani peningkatan kadar jenayah dan masalah sosial yang berpunca daripada kerapuhan dan keruntuhan institusi kekeluargaan dapat direalisasikan. 

PENGENALAN MKSNJ

Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) ditubuhkan pada 1 Oktober 1997 bertujuan untuk memantapkan institusi keluarga secara sistematik dari segenap aspek termasuk sosial, ekonomi dan politik. Penubuhan YPKDT juga bertujuan untuk membantu pembentukan masyarakat yang sejahtera, bahagia dalam semangat permuafakatan pelbagai bangsa. Selain institusi keluarga, program anjuran YPKDT turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan sukarela bagi meluaskan penglibatan masyarakat.

Negeri Johor, melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT), telah memulakan inisiatif Modul Keluarga Sakinah (MKS) yang dilancarkan pada tahun 1998. MKS ini dikhususkan kepada masyarakat Muslim di Negeri Johor dan diterima dengan baik di Negeri ini, malahan turut dicontohi di negeri-negeri lain di Malaysia.

Sebagai lanjutan kepada kejayaan memperkenalkan MKS tersebut, satu modul kekeluargaan yang menyeluruh khusus untuk masyarakat bukan Islam telah dibangunkan bagi memenuhi kehendak untuk menjadikan Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang berwibawa melalui pembentukan keluarga yang sejahtera.

Modul kekeluargaan yang dibangunkan ini mengambil pendekatan yang bersesuaian dengan kepelbagaian masyarakat dan bangsa Johor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama serta bersandarkan kepada falsafah dan hala tuju negeri Johor.

Modul Keluarga Sejahtera yang dikhususkan kepada masyarakat bukan Islam merupakan pelengkap kepada Modul Keluarga Sakinah. Dengan adanya modul ini, diharap dapat menjadi panduan dan bimbingan kepada masyarakat bukan Islam di negeri Johor khususnya dan seluruh masyarakat umumnya dalam membentuk dan memperkasakan institusi kekeluargaan.

Secara asasnya, modul ini dibangunkan berdasarkan kepada empat tema berikut:-

Tema 1: “Gerbang Cinta” –  Fasa Pra Perkahwinan

Tema 2: “Serasi Bersama” – Fasa Awal Perkahwinan

Tema 3: “Sehati Sejiwa” – Fasa Pra Kematangan Perkahwinan

Tema 4: “Semarak Kasih” – Fasa Kematangan Perkahwinan

Daripada tema-tema tersebut, beberapa modul dihasilkan yang menjadikan keseluruhan modul dalam MKSNJ ini sebanyak 14 buah modul.

Laporan Lengkap

Laporan Siri Webinar Kembara Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor (MKSNJ) 2021

Accessibility Toolbar

ms_MYMS