Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim ditubuhkan pada 10 Oktober 1997 dengan tujuan mewujudkan masyarakat harmoni, bahagia, sejahtera dan penyayang. Salah satu daripada objektif penubuhannya, ialah, untuk membawa wanita dalam arus pembangunan.
Seiring dengan objektif tersebut, pada 2003 Program Menjana Pendapatan diilhamkan bertujuan untuk meningkatkan mutu dan kualiti hidup golongan wanita ke arah membina institusi keluarga yang harmoni
Program ini memberi penekanan dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan sasaran iaitu ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah melalui Skim Bantuan Peralatan bagi mereka yang berpotensi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan juga membantu golongan wanita yang telah mempunyai produk sendiri mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan pemberian barang peralatan yang diperlukan.
OBJEKTIF
- Memberi peluang kepada golongan sasaran menjana pendapatan dari rumah melalui (Home-based Income Generating) tanpa perlu keluar rumah meninggalkan anak-anak.
- Melahirkan wanita (ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah) yang berpotensi dan berkualiti sebagai ejen perubahan dalam sesebuah institusi keluarga.
- Membantu peniaga / usahawan kecil wanita mengembangkan perniagaan mereka melalui program menjana pendapatan.
- Meningkatkan motivasi dan memupuk semangat juang yang tinggi di kalangan golongan sasaran (ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah) agar lebih berdaya saing dan berdikari mengharungi peningkatan kos sara hidup dari semasa ke semasa.
KAEDAH / STRATEGI PELAKSANAAN PROGRAM
- Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP) 2020 ini akan disalurkan kepada pemohon-pemohon yang layak setelah selesai sesi lawatan ke premis perniagaan / kediaman pemohon dan diputuskan dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa Pemberian Barangan Peralatan YPKDT dijalankan.
- Bantuan peralatan yang disalurkan adalah merupakan pelbagai bentuk peralatan yang boleh digunakan untuk memulakan perniagaan dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dalam usaha menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi keluarga seperti mobile spa, mesin pembuat roti dan kek, oven dan microwave, mesin jahit dan sebagainya.
- Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP) 2020 ini juga merupakan inisiatif susulan kepada golongan sasaran (ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah) yang telah mendaftar dan mengikuti pelbagai program / kursus / bengkel kemahiran yang dianjurkan oleh YPKDT di bawah Unit Wanita & NGO merangkumi kursus jahitan, masakan, seni kraftangan, horticulture, urutan refleksologi, penjagaan selepas bersalin, seminar dan motivasi diri dan asas pengurusan kewangan dan lain- lain lagi.
- Penerima yang telah menerima bantuan peralatan akan dipantau perkembangan mereka dalam projek menjana pendapatan, dan akan dibantu dari segi peningkatan kemahiran dan ilmu keusahawanan. Mereka akan dipantau di bawah Projek Usahawan Suri di YPKDT dalam mempromosi produk dan perkhidmatan yang diusahakan.
KUMPULAN SASAR
- Ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah (B40) yang telah berdaftar di Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim melalui Sistem Maklumat Ibu Tunggal (SMIT).
- Ibu Tunggal dan wanita berpendapatan rendah yang berpendapatan tidak melebihi Ringgit Malaysia : Satu Ribu Sahaja Hingga Ringgit Malaysia : Satu Ribu Lima Ratus (RM 1000.00- 1500,00) sebulan.
- Ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah yang telah dan akan mengikuti kursus / program / bengkel kemahiran yang dianjurkan oleh Unit Wanita & NGO YPKDT.