Program Mama Friendly ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dengan mewujudkan Bilik Mama Friendly bagi menjaga kebajikan dan memberikan kemudahan kepada ibu bekerja yang masih menyusukan bayi mereka agar dapat mengepam susu dalam keadaan yang selesa dan pada masa yang sama produktiviti dalam pekerjaan dapat dilaksanakan dengan baik.

Program ini telah mula dilaksanakan pada Tahun 2019 bertujuan untuk menyokong dasar penyusuan susu ibu di peringkat Kebangsaan. Pelaksanaan mewujudkan bilik Mama Friendly ini juga telah mendapat sokongan yang baik dari pelbagai agensi antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Sekolah, swasta dan NGO.

Bagi Tahun 2020 pula, Program Mama Friendly ini diteruskan dan diperluaskan dengan melaksanakan lebih banyak pembinaan bilik dan program Mama Friendly sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Belanjawan Johor 2020, yang mana pelaksanaannya diperluaskan di agensi-agensi kerajaan dan sekolah-sekolah di seluruh Daerah di Negeri Johor.

OBJEKTIF

  • Menyokong Dasar Penyusuan Susu Ibu dengan menyediakan bilik penyusuan dalam usaha menggalakkan semua ibu bekerja menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja sepanjang 6 bulan pertama dan meneruskan penyusuan sehingga usianya 2 tahun.
  • Memberi lebih motivasi dan galakan kepada golongan ibu bekerja untuk terus bekerja dan dalam masa yang sama dapat membekalkan faedah kesihatan dan khasiat yang hanya diperolehi dari susu badan kepada bayi, dan mengepam susu merupakan satu cara yang baik untuk mengeratkan hubungan dengan bayi pada waktu di tempat kerja.
  • Agenda memperkasa wanita merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia sejak awal 80-an dalam membantu menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Beberapa dekad kebelakangan ini terdapat peningkatan yang menggalakkan dalam penglibatan tenaga kerja golongan wanita di Malaysia.Oleh yang demikian, terdapat peningkatan yang ketara dalam bilangan wanita yang memegang jawatan pembuat keputusan.

JUSTIFIKASI  

  • Pelaksanaan Bilik Mama Friendly memerlukan sokongan Ketua Jabatan dalam memberi kelonggaran masa kepada kakitangan mereka yang perlu mengepam di bilik Mama Friendly bagaimanapun, penggunaan bilik tersebut memerlukan komunikasi yang baik di antara satu sama lain agar tidak menjejaskan produktiviti kerja. Selain itu, bilik penyusuan tersebut perlu dilengkapi dengan kemudahan seperti peti ais bagi menjaga kualiti susu yang telah dipam.
  • Cadangan menyediakan Bilik Mama Friendly di Bangunan Kerajaan dan sekolah-sekolah amatlah diperlukan demi menjaga privasi dan kemudahan kepada ibu yang masih menyusukan anaknya. Perkara ini turut disokong di dalam Mesyuarat Pelaksanaan Bilik Mama Friendly bersama-sama dengan Pegawai Pendidikan Daerah-daerah dan juga wakil dari Pejabat-pejabat Daerah pada 21 Januari 2020.
  • Pada Tahun 2019, pelbagai agensi menyokong pelaksanaan Bilik Mama Friendly dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU). Sebanyak 10 PBT, 5 Swasta dan 1 NGO terlibat bagi mewujudkan bilik Mama Friendly di agensi masing-masing. Pada tahun yang sama, sebanyak 9 bilik Mama Friendly telah berjaya diwujudkan, iaitu, di Bangunan Dato’ Mohamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, 4 buah Sekolah di Kluang (SJKC Lit Terk, SJKC Chong Eng, SJKC Chong Hwa 1 dan SJKC Ping Ming), 3 buah Sekolah di Kulai (SMK Sultan Ibrahim, SK Bandar Putra dan SMK Bandar Putra) dan Hotel Lavender Inn, Nusa Bestari (Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA)). Sehubungan dengan itu majlis perasmian bilik Mama Friendly yang pertama pada 16 Mei 2019 yang telah disempurnakan oleh YM Che’ Puan Khaleeda binti Bustamam di Bangunan Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. Di Samping itu, Program Mama Friendly ini juga telah mendapat perhatian awal daripada Pihak kerajaan Persekutuan yang turut mengadakan pelancaran Program Mama Friendly ini sempena Program Santuni Rakyat Peringkat Negeri Johor pada 26 Januari 2019 di Plaza Angsana, Johor Bahru dengan kerjasama bersama JKM, JPW & LPPKN. Program tersebut telah dirasmikan oleh  YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
  • Pada tahun 2020 pula, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim mensasarkan sebanyak 100 bilik Mama Friendly akan diwujudkan di seluruh Negeri Johor termasuk bangunan-bangunan kerajaan, sekolah-sekolah. Selain itu juga turut diadakan program-program berkaitan faedah penyusuan susu ibu ini bagi memberikan lebih pengetahuan kepada ibu terutama wanita bekerjaya dan kesedaran kepada masyarakat dan majikan dalam penyediaan bilik Mama Friendly.

KEPERLUAN ASAS PENYEDIAAN BILIK PENYUSUAN

Keperluan bagi penyediaan bilik Mama Friendly bergantung kepada keluasan bilik yang disediakan. Bagaimanapun antara keperluan asas yang perlu disediakan di dalam Bilik Mama Friendly seperti kerusi bersandar, sinki, peti ais, kipas/ penyaman udara, tong sampah bertutup dan suis.

Masa penggunaan : waktu bekerja

MISI & VISI

Hasrat YPKDT semoga penyertaan bagi Projek Bilik Mama Friendly ini semakin meningkat dan dapat diperluaskan lagi di seluruh Negeri Johor sebagai usaha menggalakkan penyusuan susu ibu dan juga besar Harapan YPKDT semoga dengan adanya program ini, masyarakat terutama kepada Ketua-Ketua Jabatan, pengarah-pengarah syarikat serta majikan-majikan akan sedar dan lebih prihatin tentang keperluan ibu yang menyusukan anak dan hal yang berkaitan dengan penyusuan susu ibu agar dapat menyediakan bilik Mama Friendly ini sebagai usaha menggalakkn serta memberi kemudahan kepada penyusuan susu ibu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperluaskan lagi pelaksanaan Program Mama Friendly dan Menyokong Dasar Penyusuan Susu Ibu di Peringkat Kebangsaan.

Skip to content